
JDT kekal sebagai pasukan bola sepak paling bernilai di Malaysia
SHAH ALAM – Gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan status mereka sebagai kelab bola sepak paling bernilai di Malaysia, dengan nilai semasa kelab kini mencecah €14.08 juta (RM71.8 juta), menurut angka terkini dari laman analisis pasaran bola sepak, Transfermarkt.
Penilaian tinggi ini didorong oleh kehadiran tiga pemain warisan serta beberapa pemain import berkualiti, menjadikan skuad kendalian ketua jurulatih Xisco Muñoz kini memiliki 39 pemain secara keseluruhan.
Pemain paling bernilai dalam skuad JDT ketika ini ialah penyerang warisan Harimau Malaya yang baharu, Joao Figueiredo, yang dinilai pada harga €2 juta (RM9.96 juta) selepas pengesahan perpindahannya ke kelab tersebut.
Penyerang Brazil, Jairo Da Silva, berada di tempat kedua dengan nilai €900,000 (RM4.4 juta), diikuti pemain warisan Jon Irazabal bernilai €600,000 (RM3 juta). Hector Hevel, yang menyertai JDT dari kelab Portugal, Portimonense, dianggarkan bernilai €400,000 (RM2 juta).
Sementara itu, pemain tempatan paling bernilai dalam skuad kekal milik bintang utama JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi – pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak empat kali di Anugerah Bolasepak Kebangsaan – dengan nilai pasaran €650,000 (RM3.2 juta).
Setakat ini, JDT telah menandatangani lapan pemain baharu bagi musim 2025/2026: Irazabal, Hevel, Figueiredo, Jairo, Antonio Glauder, Ibrahim Manusi, Moussa Sidibe dan Jonathan Silva, dengan jumlah gabungan nilai pemain-pemain ini dianggarkan sekitar RM28 juta.
Strategi pengambilan agresif yang melibatkan pemain warisan dan import bertaraf tinggi ini merupakan sebahagian daripada persiapan serius JDT untuk menghadapi saingan musim hadapan, termasuk Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), Kejohanan Kelab Asean (ACC) serta pertandingan domestik dalam Liga Malaysia.
Pada masa yang sama, kelab turut melepaskan 11 pemain pada akhir musim lalu, termasuk Jese Rodriguez, Alvaro Gonzalez, Jordi Amat, Murilo Henrique, Jonathan Viera, Roque Mesa dan Anselmo de Moraes, serta pemain tempatan Safiq Rahim, Farizal Marlias, Izham Tarmizi dan Ramadhan Saifullah, selepas kontrak mereka tidak disambung.
Walaupun menerima suntikan pemain baharu, nilai pasaran semasa JDT sedikit menurun berbanding musim lalu yang mencatatkan angka €17.2 juta (RM85.62 juta), ketika kelab memperkukuh skuad untuk saingan peringkat kumpulan ACLE.
Namun, nilai kelab dijangka kembali meningkat sekiranya JDT meneruskan usaha mendapatkan pemain bertaraf tinggi selaras dengan matlamat besar mereka untuk layak ke Piala Dunia Kelab FIFA pada masa hadapan.
Musim hadapan dijangka menjadi antara musim paling mencabar buat JDT, yang akan bersaing dalam tiga kejohanan utama – Liga Malaysia, ACC dan ACLE.